FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zuliaty Zulkiffli


CEMAS apabila dimaklumkan akan didakwa atas kesalahan berkaitan bekalan ubat tidur yang langsung tidak kena-mengena dengannya, seorang wanita kehilangan RM3,200 kepada sindiket Macau Scam.

Wanita berusia 50-an dari Alor Setar menjadi mangsa pertama penipuan terbaru membabitkan sindiket itu yang ahlinya menyamar sebagai pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chan Teck Paing berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa itu, semalam.

Beliau berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal

Kebangsaan (NPCB) KKM 03-78835400 yang dikesan sebagai nombor 'spoofing'.

"Sindiket itu menggunakan taktik yang sama dengan empat laporan polis yang kita terima sebelum ini, iaitu dengan mendakwa identiti mangsa digunakan dalam pengambilan ubat tidur di Hospital Alor Setar.

"Mangsa kemudian disambung ke talian 999 dan "polis" memberitahu mangsa akan

didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan itu.

"Mangsa turut dinasihatkan sindiket itu untuk mendapatkan khidmat peguam dan diberikan dua nombor oleh sindiket itu untuk menghubungi peguam tersebut," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Cemas dengan ancaman bakal berdepan dakwaan di mahkamah, mangsa kemudian menghubungi

'peguam' berkenaan dan diminta menyiapkan wang jaminan untuk menyelesaikan kes itu.

Katanya, mangsa kemudian memasukkan sebanyak RM3,200 ke dalam akaun yang diberikan individu itu, kononnya sebagai persiapan wang jaminan yang diperlukan oleh mahkamah.

"Namun, selepas membuat bayaran berkenaan, 'peguam' itu gagal dihubungi dan mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar semalam selepas mengesyaki ditipu.

Chan berkata, ini adalah laporan kali kelima yang diterima pihak polis dalam tempoh seminggu, namun empat mangsa sebelum ini tidak mengalami kerugian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

"Walaupun kita sudah mengeluarkan nasihat dan peringatan di media, namun masih ada yang menjadi mangsa panggilan seperti itu, malah sindiket itu juga masih berani melakukan panggilan itu untuk memperdaya mangsanya," katanya.

Chan berkata, beliau percaya masih ramai lagi individu menjadi mangsa sindiket ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang panggilan daripada individu yang tidak dikenali dan memutuskan terus panggilan sekiranya menerima panggilan daripada pihak KMM atau bank atau jabatan kerajaan yang lain.

NSTP sebelum ini melaporkan, empat mangsa membuat laporan polis masing-masing pada Sabtu

dan Ahad lalu selepas mendakwa menerima panggilan mencurigakan daripada sindiket yang menyamar sebagai pegawai KKM.

Siasatan polis mendapati, kesemua mangsa dipercayai dihubungi sindiket ‘Macau Scam’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 3:47 PM