Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Nur Sufiah Abd Halim


PINJAM wang daripada ahlong lain, bayar pula kepada ahlong yang lain.

Itu nasib menimpa seorang lelaki apabila tersilap membuat bayaran hutang kepada ‘lintah darat’ menyebabkan kerugian RM17,500.

Mangsa dikenali sebagai Wong, 48, berkata, membuat pinjaman berjumlah RM17,500 pada 22 Januari lalu daripada seorang ahlong sebagai modal untuk memulakan perniagaan.

Namun, sebaik mempunyai wang untuk membayar hutang berkenaan, dia menerima mesej daripada satu nombor tidak dikenali menuntut untuk menjelaskan hutang dibuat.

"Saya tidak syak ia panggilan daripada orang lain kerana lelaki itu tahu segala maklumat hutang yang saya buat sebelum ini.

"Jadi, tanpa syak apa-apa saya terus membuat pindahan wang kepada nombor akaun lelaki itu pada 29 Januari lalu," katanya ketika ditemui pada sidang media bersama Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong di Biro Pengaduan Awam MCA, Wisma MCA petang tadi.

Menurut Wong, dia hanya tahu tersilap memasukkan wang selepas pemberi pinjaman sebenar menghubunginya semula bagi menuntut wang yang dipinjam.

"Masa itu baru saya tahu silap memasukkan wang dan cuba menghubungi lelaki itu semula bagi memintanya memulangkan wang terbabit, tapi gagal dihubungi," katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Klang 30 Januari lalu.

Sementara itu, Michael Chong percaya wujudnya pakatan dalam kalangan ahlong bagi mengelirukan mangsa untuk menyelesaikan hutang mereka.

Beliau berharap mangsa dapat berhati-hati dan menyimpan segala bukti bagi memudahkan siasatan polis.

"Dengan adanya bukti ini, barulah tindakan selanjutnya dapat diambil terhadap lintah darat yang dipercayai dengan sengaja mengelirukan mangsa bagi memeras lebih banyak wang mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 10:05 PM