MOHD Amar (dua kanan) ketika merasmikan Revisit Kota Bharu 2019. FOTO Syamsi Suhaimi
MOHD Amar (dua kanan) ketika merasmikan Revisit Kota Bharu 2019. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


“SIAPA makan lada dia rasa pedas,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta PAS hentikan fitnah berhubung undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Amar berkata, PAS tidak membuat fitnah berhubung isu itu, sebaliknya memperoleh maklumat.

“Ini bukan fitnah, kita ada maklumat, kita pun tidak cakap siapa-siapa kan. Siapa makan lada dia rasa pedas lah,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Revisit Kota Bharu 2019 di Kota Bharu, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, PAS tidak pernah bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri kerana tidak memiliki kerusi mencukupi di Parlimen.

“Kami pun ada 18 kerusi sahaja, tentulah orang yang bawa usul nak jadi PM daripada parti yang ada jumlah ramai (kerusi ) di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas dakwaan ketiadaan pemimpin kanan PAS turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih, Mohd Amar menafikan perkara itu.

“Naib Presiden turun, Setiausaha Agung turun memberi sokongan.

“Pemimpin Pakatan Harapan berapa orang turun masa hari penamaan calon, cuba senaraikan dulu kepada kita, ramai yang tidak turun, saya tahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 8:45 AM