KELUARGA Rohingya di hadapan penginapan di kem pelarian di Ukhiya, Cox's Bazar, Bangladesh. FOTO EPA
KELUARGA Rohingya di hadapan penginapan di kem pelarian di Ukhiya, Cox's Bazar, Bangladesh. FOTO EPA
Yusmizal Dolah Aling


PERSATUAN Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (MERHROM) berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana memberi perhatian dan membantu pelarian Rohingya.

Presidennya Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, pihaknya menghargai sokongan dari seluruh dunia untuk menghentikan pembunuhan terhadap etnik Rohingya, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan masyarakat antarabangsa untuk mendesak Myanmar menghentikan pembunuhan di sana.

Katanya, MERHROM juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memanjangkan isu itu dalam pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika lawatan kerjanya ke Washington.

"Kita juga minta Amerika Syarikat harus mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar misi keamanan segera ke Rakhine untuk memantau pelanggaran hak asasi manusia terhadap etnik Rohingya

"Selain itu, Amerika Syarikat juga perlu menggesa Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) ke sempadan Bangladesh di mana 100,000 Rohingya tersadai dan menyediakan keperluan asas kepada mereka terutamanya makanan, air bersih, ubat-ubatan, pakaian dan tempat perlindungan.

"Kerajaan Amerika Syarikat harus mengenakan sekatan politik dan ekonomi kepada Myanmar atas pelanggaran hak asasi manusia terhadap etnik minoriti Rohingya," katanya dalam kenyatan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 3:41 PM