FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuching: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Sultan Tengah berdekatan Taman Keluarga Kuching, di Matang, di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 3.30 pagi tadi dipercayai berpunca apabila pemandu kereta hilang kawalan dan merempuh motosikal di hadapannya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.31 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kemalangan mengakibatkan Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki terbakar dan pihaknya membantu memadamkan kebakaran sebelum mayat dikeluarkan.

"Mayat penunggang motosikal dan pemandu kereta diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, penunggang motosikal yang maut dikenali sebagai Mohamad Jumadi Rais, 31, manakala identiti pemandu kereta masih belum dikenal pasti.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 11:17 AM