Mohd Kamaruzaman dan Nor Hazira pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Perak. FOTO BERNAMA    
Mohd Kamaruzaman dan Nor Hazira pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Perak. FOTO BERNAMA    
Balqis Jazimah Zahari


MOHD Kamaruzaman Daud dan Nor Hazira Mohd Kamal, masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Perak 2019 malam tadi.

Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM8,000 berserta plak, hadiah iringan dan pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.

Tempat kedua qari tilawah dimenangi Syamsul Abu Hassan Al-Shaari, manakala Mohd Sahran Tarmizi di tempat ketiga.

Tempat kedua dan ketiga qariah tilawah pula masing-masing dimenangi oleh Nor Salwa Razali dan Puteri Kalimatul Azwa Hamid.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM6,000 dan RM4,000 berserta plak dan hadiah iringan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Penutup dan Penyampaian hadiah tilawah itu di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di Ipoh.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis itu.

Turut berkenan berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Afifullah Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda,Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Asyikin Mohd Radzi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sementara itu, johan bagi hafazan kategori 1 hingga 10 juzuk dimenangi oleh Adam Nikal Irfan Azillah dan Aqilah Sulli Ahmad Rozaini; johan kategori 1 hingga 20 juzuk (Muhammad Amzar Muzakkir Md Lela dan Nurul Hanim Saipul Zamri) serta johan kategori 1 hingga 30 juzuk (Muhammad Zhafri Haziq Zaini dan Salwa Wafa Khusairi)

Pemenang menerima wang tunai antara RM1,000 hingga RM8,000 beserta plak dan hadiah iringan.

Kesemua johan bagi tilawah dan hafazan akan mewakili Perak bagi Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada 17 hingga 22 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 1:38 AM