WAN Ainuddin Hilmi dan Nor Azrah pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58.
WAN Ainuddin Hilmi dan Nor Azrah pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Qari dan qariah Malaysia, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan Nor Azrah Ayub diumumkan sebagai Johan Kategori Tilawah, Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58 dengan masing-masing memperoleh 94.79 dan 90.96 markah malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000, kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan piala iringan.

Keputusan berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tempat kedua dimenangi qari dari Brunei Darussalam, Awangku Muhd Adibul Amin Pengiran Marzuki yang memperoleh 90.15 markah dan qariah dari Indonesia, Mastia Lestaluhu dengan 87.53 markah.

Tempat ketiga dimenangi qari dari Indonesia, Awaluddin Mohor dan qariah dari Brunei Darussalam, Siti Huzzaimah Yadey Rosli.

Sementara itu bagi kategori menghafaz al-Quran pula, johan disandang Hafiz dan Hafizah dari Mesir, Abdullah Said Mohamed Bayoumy Elkazzaz dan Mayada Mahmoud Mahmoud Abdelrahim dengan 96.63 dan 90.88 markah.

Pemenang bagi kategori menghafaz al-Quran membawa pulang wang tunai RM20,000, kepingan emas bernilai RM40,000 dan piala iringan.

Othman berkata, sebanyak 57 negara menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antarabangsa kali ini yang mana 38 peserta menyertai kategori tilawah dan 31 peserta bagi kategori menghafaz.

“Berdasarkan keputusan jemaah hakim mendapati mutu bacaan peserta tilawah sangat baik selain menunjukkan kesungguhan dan kemampuan secara taranum yang membanggakan.

“Manakala bagi kategori menghafaz 30 juzuk al-Quran pula, peserta mempersembahkan dengan cemerlang dan memberi kesan mendalam kepada pendengar serta mampu menjawab dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 4:49 AM