ANTARA barangan dirampas dari seorang lelaki (kanan) di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Dingin, Mahang ketika ingin mencuri. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan dirampas dari seorang lelaki (kanan) di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Dingin, Mahang ketika ingin mencuri. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN seorang lelaki mencuri buah kelapa sawit di sebuah ladang di Sungai Dingin, Mahang, dekat Kulim, gagal apabila dia ditahan anggota polis bantuan yang sedang melakukan rondaan di kebun itu semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, suspek berusia 29 tahun itu sedang mengambil buah kelapa sawit yang dilerai dan sudah dipotong sebelum anggota polis terbabit melihat kelibatnya.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, lelaki terbabit kemudian bertindak menahan suspek sebelum menghubungi pihak polis.

Menurutnya, polis yang tiba tidak lama kemudian menahan semula suspek dan merampas dua bilah pahat, satu guni berisi kelapa sawit yang sudah dileraikan dan dua tandan kelapa sawit.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 6:03 PM