Oleh Izad Thaqif Hassan

Kulim: Berselindung sebalik pekerjaannya, seorang mekanik bersama isterinya dikesan turut menjalankan aktiviti mengedar heroin dan syabu sejak setahun lalu untuk mencari pendapatan lebih.

Bagaimanapun, aktiviti pasangan berkenaan terbongkar apabila sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menyerbu dan menahan mereka dalam sebuah rumah di Kampung Bukit Rawa Sedim, Karangan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Sazalee Adam berkata, pasangan berusia 31 tahun yang tidak mempunyai anak itu ditahan susulan daripada tangkapan dua lelaki yang juga pengedar dadah di dua lokasi berbeza di Kampung Ulu Dingin, Mahang, dekat sini.

Menurutnya, polis pada mulanya menahan seorang lelaki di ladang kelapa sawit di Mahang pada 11 pagi dan hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui enam plastik lut sinar pelbagai saiz berisi heroin dan satu plastik lut sinar berisi syabu dalam beg kuning yang dibawanya.

"Suspek yang tidak bekerja berusia 20-an itu didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan hasil soal siasat kita berjaya menahan seorang lagi lelaki kira-kira 30 minit kemudian di tepi jalan tidak jauh daripada situ.

"Pemeriksaan lanjut mendapati beg coklat dibawa suspek kedua itu mengandungi dua paket plastik lut sinar berisi heroin dan satu paket plastik lut sinar berisi syabu ," katanya ketika sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek yang juga tidak bekerja itu mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan pernah ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Susulan daripada penahan dua suspek terbabit membuatkan polis berjaya membongkar aktiviti pengedaran dadah dilakukan suami isteri yang ditahan ketika berada dalam bilik rumah mereka dalam serbuan pada 6.30 petang pada hari sama dan berjaya merampas heroin serta syabu selain alat penimbang.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek lelaki positif morfin, manakala wanita yang juga isteri mekanik berkenaan didapati negatif dan kita percaya mereka ini adalah rangkaian sindiket pengedaran dadah sama," katanya.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu dipercayai hanya membuat 'wayang' dengan berselindung sebalik pekerjaannya dan dia kemungkinan bersekongkol dengan isteri untuk mengedar dadah dan menjadikan ia sebagai sumber pendapatan utama yang lebih mendatangkan untung buat mereka.

"Dadah yang dirampas dalam tiga serbuan itu dianggarkan bernilai RM24,000 dan kita turut menyita dua motosikal serta wang yang semuanya bernilai RM5,340.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengiktu Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika bersalah boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Menurutnya, sepanjang Op Tapis Khas (tokan Jalanan) yang dilakukan sejak 17 Oktober lalu, pihaknya berjaya menahan 53 individu membabitkan pelbagai kesalahan bersabit kes dadah di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 1:43 PM
Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Sazalee Adam menunjukkan sebahagian jenis dadah berjumlah RM5,340 yang dirampas pada sidang media di IPD Kulim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Sazalee Adam menunjukkan sebahagian jenis dadah berjumlah RM5,340 yang dirampas pada sidang media di IPD Kulim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR