SISA buangan yang disyaki bahan kimia. FOTO Farah Suhaidah Othman
SISA buangan yang disyaki bahan kimia. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


SIASATAN awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mendapati bahan buangan di kawasan bekas lombong berhampiran Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) 10 Ulu Chepor, dekat Ipoh, bukan bahan kimia.

Bahan itu yang pada mulanya disyaki bahan kimia oleh penduduk dipercayai dibawa dengan lori dari kilang berhampiran sebelum dibuang ke kawasan bekas lombong terbabit hingga mencetuskan kebimbangan mereka.

Pengarah JAS negeri, Noraziz Adinan berkata, siasatan awal mendapati bahan buangan berkenaan bukan bahan buangan terjadual.

“Bahan buangan berkenaan tidak tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya mengarahkan pegawainya meneruskan siasatan dan meminta pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menyiasat aktiviti pembuangan bahan berkenaan.

“Aduan sudah dipanjangkan ke pihak MBI untuk susulan lanjut,” katanya.

Semalam, lebih 200 penduduk RPT 10 Ulu Chepor mendakwa kawasan bekas lombong berkenaan dibuang sisa buangan dipercayai bahan kimia oleh kilang di kawasan berhampiran sejak awal minggu lalu.

Mereka mendakwa lebih daripada lima lori keluar masuk di kawasan itu membuang sisa berkenaan dan aktiviti itu berlarutan hingga menjejaskan ketenteraman dan kesihatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 5:02 PM