GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan negeri disaran mengasingkan kawasan perindustrian jauh dari penempatan penduduk sebagai langkah pencegahan jangka panjang menangani pencemaran sisa kimia terutamanya jika terdapat sungai.

Timbalan Pengerusi Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Darfizzi Derawi berkata ia bagi mengelakkan insiden pencemaran sisa kimia yang menjejaskan penduduk berulang.

Katanya, insiden sisa toksik Sungai Kim Kim pada 2019 dan pencemaran kimia di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Selasa lalu perlu dipastikan tidak berulang kerana membahayakan penduduk.

"Oleh kerana kepadatan industri berkaitan kimia di sesetengah tempat, maka kerajaan negeri dan PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu mencari jalan penyelesaian alternatif jangka masa panjang.

"Langkah itu adalah bagi mengasingkan kawasan perindustrian jauh daripada kawasan penduduk, lebih-lebih lagi jika ada sungai.

"Ia bagi menyekat kontraktor atau pihak industri yang tidak bertanggungjawab membuang sisa kimia secara haram dan mudah terutama di sungai. Mereka yang tidak bertanggungjawab sebenarnya ingin 'lari' daripada menyediakan sejumlah kos pengurusan sisa kimia yang sepatutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"PBT serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga perlu mewujudkan mekanisma baru yang lebih cekap kepada pihak industri kimia supaya proses pelupusan sisa kimia dapat dikawal selia sepenuhnya kontraktor pelupusan sisa kimia bertauliah secara berkala melalui konsensi," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram, di sini, dilaporkan mengalami simptom pening dan muntah berikutan pencemaran sisa kimia, dipercayai dibuang di sungai berhampiran.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Mohamed, berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya serta sebuah jentera Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Larkin dengan kekuatan keseluruhan seramai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang dilaporkan membuat penilaian di lokasi iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, mendapati terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan' di kawasan itu.

Pasukan Unit Bahan Bahaya (HAZMAT) dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tangki 'ibc' yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran, menyebabkan pencemaran sisa kimia di situ.

Dalam pada itu, Dr Darfizzi berkata, sebahagian besar sisa kimia adalah bersifat mudah meruap dan berbahaya terhadap kesihatan manusia serta alam sekitar.

Katanya, sesetengah sebatian kimia mungkin menjadi lebih reaktif atau berbahaya apabila terdedah kepada cahaya, membawa kepada potensi risiko keselamatan, seterusnya boleh bergerak secara rawak dan tersebar ke seluruh kawasan sekitar.

"Ini akan menyebabkan penduduk di kawasan perumahan dan pelajar serta guru di sekolah sekitar akan terdedah kepada risiko keracunan kimia.

"Sisa kimia yang tersebar boleh memasuki tubuh badan mangsa apabila terhidu ketika bernafas, termakan makanan yang terkena sisa kimia serta resapan melalui kulit.

"Antara tanda-tanda keracunan sisa kimia adalah terasa loya, sukar bernafas, pedih mata, muntah-muntah, dan jika perkara sebegini berterusan boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk terhadap kesihatan," katanya.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 3:57 PM