Wan Mahmud (bertongkat) melihat botnya yang tenggelam. FOTO Rosli Ilham
Wan Mahmud (bertongkat) melihat botnya yang tenggelam. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“Dah lah kaki patoh (patah) eksiden (kemalangan), hari ini bot Ayoh Wan tenggelam pulok (pula),” kata nelayan Wan Mahmud Wan Ali, 66, selepas bot miliknya tenggelam ketika berlabuh di Jeti Kampung Sungai Buaya, Dungun hari ini.

Wan Mahmud yang mesra disapa Ayoh Wan berkata, dia menerima panggilan daripada rakan memaklumkan botnya berharga RM57,000 tenggelam jam 6.35 petang.

“Saya dengan menggunakan tongkat pergi ke tempat kejadian dan sangat sedih melihat bot saya sudah tenggelam.

“Saya tak ke laut sejak tiga bulan lalu selepas terbabit kemalangan yang menyebabkan kaki kanan saya patah. “Selepas kemalangan itu saya tak sempat memeriksa keadaan bot sehinggalah ia tenggelam petang ini,” katanya.

Menurutnya, mungkin ada bahagian bot yang bocor menyebabkan botnya tenggelam dan enjin dimasuki air.

“Saya tiada wang untuk mengupah orang menaikkan semula bot itu dan perlu sekitar RM9,000 untuk membaiki semula enjin termasuk peralatan lain,” katanya.

Menurutnya, sejak terbabit dalam kemalangan, dia tiada pendapatan dan buntu untuk menjelaskan hutang bot dengan sebuah bank.

“Wang simpanan habis digunakan untuk perbelanjaan harian dan ubatan dan saya kini tiada tempat untuk mengadu nasib,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 8:39 PM