Nor Fazlina Abdul Rahim dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin


POLIS Kelantan merampas 487 kilogram (kg) dipercayai daun ketum dan 4,040 biji pil yaba di Pusu 40, Pasir Mas, petang kelmarin.

Menerusi serbuan 2.30 petang itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 28 dan 39 tahun selepas mengejar beberapa kilometer sehingga berlaku perlanggaran di antara kenderaan suspek dan polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata ketika itu sepasukan anggota polis dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan terbabit.

Katanya, sebaik tiba di Pusu 40, pihaknya mendapati sebuah kereta Toyota Wish dipandu laju menyebabkan anggotanya mengejar dan mengarahkan berhenti, namun suspek enggan sebelum memecut laju.

“Bagaimanapun anggota kami berjaya memberhentikan kereta dinaiki suspek sebaik tiba di lampu isyarat Lubok Jong dan terpaksa memecahkan cermin kereta di sebelah pemandu dan penumpang untuk mengeluarkan suspek.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta berkenaan menemui 33 bungkusan plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 487kg bernilai RM14,600.

“Manakala, bungkusan plastik lutsinar mengandungi pil kemerahan dan kehijauan dipercayai pil yaba bernilai RM80,800 turut ditemui dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM95,410,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, siasatan pihaknya mendapati bekalan daun ketum itu diperoleh dari Sik, Kedah dan suspek dalam perjalanan untuk menghantar kepada pelanggan di sekitar Meranti, Pasir Mas.

“Kedua-dua suspek yang masing-masing mempunyai enam dan empat rekod lampau termasuk dadah serta pecah rumah menerima upah RM750.

“Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 7:19 PM
HASANUDDIN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 487kg daun ketum dan 4,040 biji pil yaba pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi.
HASANUDDIN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 487kg daun ketum dan 4,040 biji pil yaba pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi.