Nor Fazlina Abdul Rahim


POLIS Kelantan merampas 140,000 biji dipercayai pil yaba bernilai RM1.4 juta di Kampung Kubang Pak Ali, Jalan Kesban, Pasir Mas, pagi semalam.

Turut ditahan seorang pemuda berusia 27 tahun merangkap penghantar bekalan dadah berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, rampasan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ketika itu sedang melakukan operasi rondaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi anggota PGA mendapati sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang pemuda dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan dalam but kereta menemui dua kotak besar dan dua kotak kecil yang mengandungi 70 bungkusan plastik lutsinar.

“Kita mendapati, bungkusan plastik lutsinar itu diisi pil kemerahan dan kehijauan dipercayai pil yaba,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

HASANUDDIN (kanan) menunjukkan rampasan 140,000 biji dipercayai pil yaba bernilai RM1.4 juta ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HASANUDDIN (kanan) menunjukkan rampasan 140,000 biji dipercayai pil yaba bernilai RM1.4 juta ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, siasatan mendapati, lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan tinggal di Rantau Panjang.

“Berdasarkan keterangan suspek, dia mengaku mengambil bekalan dadah di Tumpat untuk dihantar ke Rantau Panjang.

“Lelaki berkenaan memaklumkan dia adalah penghantar dadah dan baru pertama kali melakukan kegiatan itu ,” katanya yang suspek direman seminggu bermula semalam.

Pada masa sama katanya, pihak polis turut merampas pelbagai mata wang dan jam tangan bernilai RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 5:15 PM