GURU Penolong Kanan Kurikulum, Nafidzah Abdul Kadir, 60, diraikan bersama suaminya, Mohd Toha Ayub , 63, di atas pelamin pada Majlis Persaraan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang. FOTO Rosman Shamsudin
GURU Penolong Kanan Kurikulum, Nafidzah Abdul Kadir, 60, diraikan bersama suaminya, Mohd Toha Ayub , 63, di atas pelamin pada Majlis Persaraan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


GURU terpaksa ‘bersanding’ kali kedua di atas pelamin bersama suaminya ketika diraikan pada majlis persaraannya di Slim River, hari ini.

Lebih manis, majlis meraikan persaraan Guru Penolong Kanan (GPK) Kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Nafidzah Abd Kadir, 60, itu yang sudah terbabit dalam bidang perguruan selama 35 tahun, kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-60.

Dia dan suami, Mohd Toha Ayub, 63, yang juga bekas GPK Kokurikulum SK Soeharto, dekat Slim River, duduk di atas pelamin yang disediakan hasil kreativiti guru sekolah bagi meraikan persaraan guru berkenaan.

Nafidzah berkata, dia bersyukur selepas mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam bidang pendidikan, akhirnya dia berjaya menamatkan perkhidmatan dalam kerjaya yang diimpikannya ketika zaman kanak-kanak.

Katanya, dia menerima latihan perguruan di Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur dan selepas itu ditempatkan ke SK Soeharto pada tahun 1984 sebagai sekolah pertama dia bergelar guru.

“Sepanjang menjadi guru ada satu kenangan yang tidak dapat dilupakan iaitu tersesat ketika mencari jalan pulang dari sekolah ke rumah guru di FELDA Soeharto ketika hari kedua bergelar guru.

“Selepas kira-kira empat tahun bertugas di sekolah itu saya bertukar ke SK Gesir Tengah selama 20 tahun serta kemudian dinaikkan pangkat ke sekolah ini sebagai GPK Kurikulum selama 10 tahun.

“Sepanjang menjadi guru, saya selalu menasihatkan anak murid jika mahu berjaya di dunia dan akhirat maka jangan sesekali lupakan solat lima waktu, sentiasa membaca al-Quran, hormati ibu bapa dan guru serta amalkan solat sunat.

“Saya berharap dapat menghadapi perubahan dalam hidup saya mulai hari ini kerana selepas ini tiada lagi suara anak murid didengari di sekolah dan gurauan rakan sekerja yang pasti akan dirindui nanti,” katanya ketika ditemui ketika majlis persaraannya itu.

Selepas majlis ucapan, beliau dan suaminya turut diarak dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda keluar dari perkarangan sekolah.

Linangan air mata murid dan rakan guru mengiringi perpisahan kerana tidak mampu menahan kesedihan apabila terpaksa merelakan guru yang banyak berjasa dan berjiwa murni bersara.

Nafidzah turut berpesan kepada rakan guru yang masih berkhidmat supaya mereka dapat meneruskan kerjaya yang mulia itu dengan sabar dan tekun untuk melahirkan murid yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 2:10 PM