NAFIDZAH suka lihat orang lain berjaya terutama murid sendiri.
NAFIDZAH suka lihat orang lain berjaya terutama murid sendiri.
Kusyi Hirdan


Apabila kita yakin hanya Allah memberi rezeki dan bukannya kuasa manusia, kita tidak mungkin akan kedekut segala ilmu yang ada. Kita mahu berkongsi apa sahaja.

Kadangkala, ada segelintir manusia yang begitu takut berkongsi ilmu kerana risau rezekinya terganggu atau berkurang. Mereka tidak yakin setiap rezeki sudah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa.

Namun Siti Nafidzah Muslim, 34, tidak berasa begitu. Malah dia suka melihat orang lain berjaya terutama mereka yang bergelar muridnya. Cerita wanita ini yang gembira dapat berkongsi ilmu memang memberi inspirasi.

Setiap kali melihat ‘anak murid’nya berjaya, dia berasa teruja. Malah, seboleh mungkin dia mahu mereka yang hadir ke kelasnya dapat menjadikan ilmu yang dikumpul sebagai punca rezeki ataupun mengubah kehidupan kepada yang lebih baik. Seterusnya dapat hidup senang bersama keluarga.

Di Melaka, sekiranya mahu belajar membuat kuih talam, baulu atau kuih kapit berperisa, nama Nafidzah pasti disebut-sebut. Ini kerana wanita ini bersungguh-sungguh dalam mendidik setiap yang datang ke kelasnya untuk menuntut ilmu buat kuih-muih yang ditawarkan.

Dia yang sudah kukuh dengan produknya berjenama Talam’s sentiasa rapat dengan pelajarnya.

“Kami ada kumpulan di laman sosial dan di situ saya suka memantau pelajar. Mereka akan tunjuk gambar hasil kerja yang di buat selepas menghadiri kelas saya kemudian saya beri maklum balas. Sekiranya nampak tidak elok saya minta mereka perbaiki sampai ia menjadi. Kenal pasti apa kesilapan yang mereka buat.

“Begitu juga dari segi rasa, pastikan mereka menggunakan bahan segar dan jangan ‘kedekut’ dengan memotong resipi untuk berjimat. Ia akan merosakkan rasa dan perkara ini sangat saya tegaskan,” katanya.

Nafidzah juga sentiasa berpesan, kualiti produk harus dijaga. Jangan ambil ringan perkara terbabit.

“Ada yang gambarnya hebat, tetapi apabila dirasa, langsung tak sedap. Ini akan mengecewakan pelanggan,” katanya.

Wajah Nafidzah menjadi ceria apabila bercerita mengenai muridnya yang mula mendapat tempahan dan tempahan itu pula makin meningkat setiap hari.

“Sekiranya sudah mendapat ramai pelanggan, saya nasihatkan mereka cara menjalankan kerja pula. Contohnya tidak boleh memakai kukus kecil, sebaliknya peralatan haruslah besar dan dan sesuai dengan industri,” katanya.

Mesti rajin

Ibu muda ini gemar apabila aura dan semangat positif mengatasi sifat malas. Sifat suka bertangguh akan memberi keburukan berbanding kebaikan. Baginya, sebagai wanita atau ibu, itu bukan alasan untuk menerima sahaja apa yang terjadi di depan mata. Untuk berubah, apa saja masalah perlu diatasi sebaiknya.

“Yang penting kena usaha dan rajin. Untuk mencapai cita-cita harus berusaha keras contohnya kena mencari ilmu sebanyak mungkin dan berguru di kelas. Sebenarnya tiada alasan untuk gagal sekiranya kita rajin. Penat? Oh, untuk berjaya memanglah penat.

“Alasan perlu menjaga anak, takut penat, tidak boleh diterima sekiranya mahu berjaya. Saya sendiri ada anak kecil, empat dan tujuh tahun, tetapi tetap mengatasinya sebab saya ada tanggungjawab terhadap keluarga. Sebagai manusia biasa pasti ditimpa pelbagai cabaran tetapi itu semua tidak boleh dibiarkan mengusai diri. Fikir tanggungjawab, semuanya boleh diatasi,” katanya.

Malah ada yang berjaya mempunyai anak lebih ramai dan ia tidak menghalang mereka melangkah menuju kejayaan. Mereka tetap berjaya menjadi ibu dan isteri yang baik. Mereka pandai membahagi masa dan tugas.

“Jangan memberi alasan demi alasan. Selalu ramai yang bertemu saya dan beritahu mahu menjadi seperti saya tetapi sayangnya mereka tak mahu bekerja keras sedangkan syarat utama untuk berjaya perlu kerja keras!” katanya.

Kuih Kapit berperisa

Kuih talam dikatakan begitu ramai yang sudah membuatnya, kita boleh saja mencuba pelbagai produk lain. Jangan risau kerana di dunia ini begitu banyak peluang perniagaan yang boleh kita ceburi asalkan rajin.

Nafidzah berkongsi juga mengenai kuih kapit yang dijualnya sepanjang tahun dan mendapat sambutan baik. Ia mudah dan mempunyai pasaran luas.

Bagi Nafidzah, tidak kira apa pun produk yang dipilih, ia perlu dibuat sebaiknya. Sekiranya rasa sedap, pelanggan pasti mengulang cari.

“Kuih kapit ini sudah menjadi snek. Ia tidak bermusim, boleh dimakan bila-bila masa dan digemari segenap usia dan bangsa. Kini setelah ditambah dengan perisa, ia makin popular dan menjadi kesukaan ramai. Modalnya juga tidak tinggi,” katanya.

Anak sulung daripada lima beradik ini memberitahu dia sendiri suka membuat kuih kapit kerana bentuknya yang cantik, sedap, rapuh, tahan lama dan sesuai sebagai cenderahati.

“Saya membuat tiga jenis iaitu perasa mentega kacang, coklat dan biasa. Yang popular ialah mentega kacang dan coklat. Musim raya lalu saya dapat menjual sehingga 300 bekas. Jadi pasaran kuih ini memang luas,” kongsinya dan terus menunjuk cara membuat kuih kapit kepada penulis.

Ternyata ia sangat mudah. Lagi elok sekiranya anda yang berminat menghadiri kelas anjuran Nafidzah untuk lebih mendapatkan petua dan melihat sendiri caranya.

“Yang penting kena ada mesin pembuatnya. Ia berharga sekitar RM139 dan ada dijual dipasar raya besar. Saya sekarang boleh mengawal enam mesin sekali gus. Semua itu boleh kita capai apabila sudah biasa kelak. Kuih kapit memang perlu kesabaran dan mengambil masa membuatnya tetapi ia senang. Untuk satu adunan sekilogram, kita akan memperoleh antara 10 hingga 11 bekas. Ia tahan disimpan tiga hingga enam bulan,” katanya.

Carilah ilmu

Nafidzah sangat menghargai gurunya yang mengajar segala ilmu kepadanya. Dia berasa kerana mempunyai ilmu dia dapat memantapkan ekonomi keluarganya walaupun sebenarnya dia juga pernah melalui zaman ekonomi merudum apabila ketika itu perlu berpindah dan memulakan hidup baharu.

“Dengan ilmu yang ada kita boleh melakukan apa saja untuk mencari rezeki. Saya melalui pelbagai pengalaman mencuba pelbagai kerja. Pernah juga menjadi pendandan rambut. Namun semuanya tidak memenuhi minat sebenar sehinggalah bertemu bidang memasak kuih. Ia kena dengan jiwa saya yang sudah bergelar isteri dan ibu,” katanya.

Mengaku pada peringkat awal dia sendiri tidak berminat membuat kuih tetapi disuruh oleh suaminya, Nafidzah semakin jelas betapa kita perlu sentiasa belajar bagi memperbaiki diri.

“Siapa sangka ilmu itulah yang saya guna untuk mencari rezeki sekarang. Pada mulanya, waktu itu sekitar 2012, saya hanya menjual di tepi jalan. Buka payung dan berniaga. Waktu awal dulu saya hanya buat enam talam sehari.

“Saya pastikan selain rasa, hasilnya juga cantik dilihat sebab ia menarik pelanggan. Untuk enam talam itu ada warna dan perasa yang berbeza,” katanya sambil menambah, dari situ pelanggan mula mencari kuih hasil tangan Nafidzah dan menempahnya.

Berasal dari Kelemak, Melaka, Nafidzah pernah mengikut ibu bapanya tinggal di Taiping, Perak kerana berniaga di sana. Dia sendiri pernah berniaga hingga ke Sungai Petani, Kedah. Pahit manis dunia perniagaan sudah dirasanya. Dia bermula dari bawah dan merasa manisnya bersusah-susah dahulu, bersenang kemudian. Ia membuat dia semakin cekal dan tabah.

“Saya seronok apabila anak-anak murid bersemangat untuk meningkatkan ekonomi. Apabila kita rajin berusaha, insya-Allah mesti berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 5:01 AM