Pantai Ban Pecah berhampiran Perairan Tanjung Piandang sunyi tanpa sebarang aktiviti menangkap ikan berikutan bimbang ancaman ribut. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Pantai Ban Pecah berhampiran Perairan Tanjung Piandang sunyi tanpa sebarang aktiviti menangkap ikan berikutan bimbang ancaman ribut. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


.

PERAIRAN Tanjung Piandang berhampiran Pantai Ban Pecah yang diibaratkan lubuk bagi nelayan, sunyi dari sebarang aktiviti penangkapan ikan berikutan komuniti nelayan di situ bimbang untuk turun ke laut.

Bukan sahaja nelayan, tempias ribut tropika Pabuk turut merencatkan aktiviti memancing di sepanjang perairan berkenaan dengan pemancing tidak kelihatan berikutan bimbang ancaman angin kencang.

Shaharudin
Shaharudin

Nelayan pantai Sungai Burong, Shaharudin Salim, 36, berkata, kebanyakan nelayan kini ‘bercuti’ dan menghabiskan masa dengan mengambil upah membaiki bubu dan jaring.

Menurutnya, sudah masuk hari keenam dia dan beberapa nelayan tidak berani turut ke laut berikutan ancaman ribut tropika Pabuk yang kesannya turut sampai di beberapa kawasan di Perak termasuk perairan di sini.

“Ancaman ribut ini beri kesan buruk kepada nelayan.

“Hanya itu sumber rezeki kami dan kini musim persekolahan baru sahaja bermula, maka tekanan dan beban untuk menyara keluarga itu semakin meningkat.

“Sebahagian dari nelayan yang berkemahiran akan menggunakan masa yang ada ini dengan mengambil upah menjahit pukat, jadi dapatlah sedikit duit belanja dapur dan anak-anak, namun bagaimana pula yang tidak ada kemahiran seperti itu, mana kami nak cari duit,” katanya.

Shaharudin ditemui pemberita ketika memantau keselamatan sampannya di pelantar Sungai Burong di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 38 sampan nelayan pantai ditambat di pelantar berkenaan.

“Semua tak berani turun ke laut termasuk ‘otai’ nelayan yang berkemahiran tinggi dalam selok belok lautan.

“Jadi macam inilah aktiviti kami, pagi petang siang malam meronda pantau sampan, bimbang jika terbalik dan rosak dibadai ombak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan melalui agensi dan jabatan berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk membantu golongan nelayan terjejas kerana tidak dapat mencari rezeki di lautan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 7:25 PM