Pelancong mengunjungi Pantai Chenang, Langkawi selepas ribut tropika Pabuk tidak lagi memberi ancaman. FOTO Shahrizal Md Noor
Pelancong mengunjungi Pantai Chenang, Langkawi selepas ribut tropika Pabuk tidak lagi memberi ancaman. FOTO Shahrizal Md Noor
BERNAMA

JABATAN Meteorologi Malaysia menamatkan amaran ribut tropika Pabuk hari ini selepas kedudukan ribut tropika itu dilihat semakin menjauhi perairan Malaysia dan tidak lagi memberi ancaman kepada negara.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata, ribut tropika itu kini berada di kedudukan 8.9°U 98.2°T dan dijangka bergerak 15 kilometer sejam (kmsj) ke arah barat laut menuju Teluk Benggala.

“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebihi 50 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 3.5 meter di kawasan perairan Phuket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jarak ribut itu dari bandar Arau, Perlis adalah 362 km dan Langkawi, Kedah (345 km).

Alui berkata, kenyataan yang dimuat naik di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia itu adalah makluman terakhir mengenai ribut tropika Pabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 3:00 PM