Rokok pelbagai jenama yang dirampas Polis Marin di Kampung Kanibongan, Pitas. FOTO Ihsan PPM.
Rokok pelbagai jenama yang dirampas Polis Marin di Kampung Kanibongan, Pitas. FOTO Ihsan PPM.
Norasikin Daineh


TINDAKAN seorang lelaki cuba menyeludup pelbagai jenis rokok membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Kanibongan, Pitas, dekat Kudat hari ini.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, lelaki berkenaan yang berusia 27 tahun ditahan selepas anggota PPM menemui 5,480 bungkus rokok pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai di dalam sebuah van.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, rampasan dan tangkapan dibuat ketika sepasukan anggotanya melakukan serbuan sebaik menerima maklumat daripada risikan di kawasan terbabit.

“Sebuah van berwarna putih yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ditahan selepas menerima maklumat yang disalurkan oleh Unit Risikan Marin (URM).

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui barang tidak bercukai kastam iaitu rokok pelbagai jenama dan wang tunai RM15,155 serta dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, semua barangan termasuk van dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM305,800 bersama wang tunai dirampas untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana dengan disedarinya melindungi, menyembunyi dan menyimpan barang tidak berkastam atau barang larangan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Pajeri meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang terutamanya membabitkan jenayah penyeludupan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 4:32 PM