ROKOK disembunyikan di ruang simpanan tangki minyak bot. FOTO ihsan PPM
ROKOK disembunyikan di ruang simpanan tangki minyak bot. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh


TAKTIK penyeludup menyorok rokok di ruang simpanan tangki minyak bot penumpang berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pelabuhan Labuan, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, sebanyak 15 karton rokok dibungkus dalam plastik hitam ditemui dalam Op Gelora Khas yang dilakukan anggota PPM.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sebuah bot penumpang ditahan untuk pemeriksaan.

“Ketika pemeriksaan dijalankan di bahagian ruang simpanan tangki minyak petrol, anggota menemui satu bungkusan plastik hitam mengandungi rokok jenama PENSIL sebanyak 15 karton atau 3,000 batang.

“Bagaimanapun, tiada penumpang yang mengaku barang itu milik mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati rokok itu cuba diseludup keluar dari Labuan tanpa menjelaskan cukai.

“Rokok bernilai RM3,750 itu dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana cubaan membawa keluar rokok dari Labuan tanpa membayar cukai dan kes dirujuk ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mempertingkatkan operasi dari semasa ke semasa untuk memastikan aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras.

“Kerjasama dan maklumat daripada masyarakat setempat juga amat diperlukan bagi membanteras kegiatan jenayah di perairan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 9:45 AM