MOHAMMED Naguib meninggal dunia selepas digilis treler dalam kemalangan di Jalan Rawang-Batu Arang berhampiran simpang tiga Kawasan Perindustrian Rawang, Rawang, hari ini. FOTO ihsan polis.
MOHAMMED Naguib meninggal dunia selepas digilis treler dalam kemalangan di Jalan Rawang-Batu Arang berhampiran simpang tiga Kawasan Perindustrian Rawang, Rawang, hari ini. FOTO ihsan polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI maut selepas digilis treler di Jalan Rawang-Batu Arang berhampiran simpang tiga Kawasan Perindustrian Rawang, hari ini.

Dalam kejadian 11.08 pagi itu, mangsa, Mohammed Naguib Mohd Jumit, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu treler berusia 49 tahun sedang menunggu lampu isyarat untuk membelok ke kanan.

“Bagaimanapun, motosikal Yamaha LC ditunggang mangsa tiba-tiba datang dari arah belakang lalu berhenti di depan treler berkenaan.

“Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, treler itu bergerak tanpa menyedari motosikal mangsa berada di depannya lalu terlanggar motosikal terbabit.

“Pelanggaran itu menyebabkan treler berkenaan menggilis mangsa sebelum lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsor berkata, pemandu treler itu tidak cedera dan siasatan lanjut kes dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 5:03 PM