PENGUNJUNG Pasar Percuma Klawang 2.0. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
PENGUNJUNG Pasar Percuma Klawang 2.0. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


TIDAK sampai 30 minit, semua pakaian, peralatan sekolah serta makanan habis diagihkan kepada kira-kira 3,000 pengunjung program Pasar Percuma Klawang 2.0 di hadapan Muzium Adat, di Kuala Klawang, hari ini.

Pengarah program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Darul Hasani Jelebu itu, Dr Muhammad Firdaus Abdul Manaf berkata, mereka berpuas hati program kali kedua dengan kerjasama Kelab Kebajikan Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu itu, mendapat sambutan.

“Kami mula mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai sejak dua bulan lalu dengan ada yang menderma pakaian terpakai, malah ada juga yang memberikan pakaian serta barangan baharu.

“Biarpun program bermula jam 8.30 pagi, orang ramai mula datang sejam lebih awal. Justeru, apabila program bermula, semua barangan dapat diagihkan dengan cepat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang.

Muhammad Firdaus berkata, sambutan luar jangkaan daripada penduduk sekitar Jelebu itu berpunca daripada hebahan yang dibuat menggunakan media sosial.

Katanya, program amal sedemikian akan diteruskan pada masa akan datang dan pihaknya gembira kerana hampir semua orang yang datang hanya mengambil barang mengikut keperluan dan tidak berebut sehingga menyebabkan pembaziran.

Pengunjung, Suhaimi Wahab, 34, dari Kuala Klawang berkata, program pasar percuma itu membantunya mendapatkan keperluan persekolahan dua anaknya.

“Terima kasih kepada pihak penganjur dan penyumbang, saya dapat mengambil set alat tulis dan baju untuk dua anak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 6:33 PM