NOORAZURA yang juga OKU mental dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk membeli makanan di sebuah kedai makan di Kuala Klawang. FOTO Ihsan Noorhaslinda Rosli
NOORAZURA yang juga OKU mental dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk membeli makanan di sebuah kedai makan di Kuala Klawang. FOTO Ihsan Noorhaslinda Rosli
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Seorang wanita meminta bantuan orang ramai mengesan kakaknya yang hilang selepas keluar dari rumah mereka di Kuala Klawang sejak tujuh hari lalu.

Noorhaslinda Rosli, 30, berkata, kakaknya Noorazura, 35, yang juga orang kurang upaya (OKU) mental keluar rumah untuk membeli makanan di sebuah kedai makan di Kuala Klawang.

Katanya, kakaknya keluar seorang diri dari rumah pada 3 petang dengan mengenakan pakaian seluar kembang kelabu dan berbaju bunga labuh berwarna hitam hijau.

"Saya dan ahli keluarga sudah mencari kakak yang juga anak sulung dalam keluarga sekitar Kuala Klawang dan berhampiran namun gagal.

"Saya meminta kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan kakak selain berharap dia dijauhkan segala musibah.

"Ada yang memaklumkan kali terakhir kakak dilihat di Terminal One, Seremban dan sekitar stesen minyak pusat bandar dari 2 hingga 6 Oktober (Selasa) lalu," katanya kepada NSTP.

Noorhaslinda berkata, berikutan itu dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Klawang pada Selasa lalu.

Orang ramai yang mengetahui di mana Noorazura berada boleh menghubungi Noorhaslinda di talian 012-6186908 atau Hafida di talian 018-3574864.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin mengesahkan menerima laporan kehilangan wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 11:07 PM