OMAR (dua dari kanan) memeriksa kawalan kehormat sempena Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah.
OMAR (dua dari kanan) memeriksa kawalan kehormat sempena Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah.
Junaidi Ladjana


SEORANG tekong dan tiga nelayan dilaporkan hilang di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, petang kelmarin berhampiran kejadian serangan ke atas bot tunda oleh sekumpulan empat lelaki lengkap bersenjata api.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil pemeriksaan pasukan keselamatan menemui sebuah bot nelayan berhampiran lokasi kejadian bot tunda Magtrans II yang ditembak empat lelaki memakai topeng dan bersenjata api, namun tiada individu di atas bot berkenaan.

“Ketika serangan kumpulan empat lelaki bersenjata ke atas bot tunda di perairan Pegasus Reef, pasukan keselamatan menjalankan siasatan dan menemui sebuah bot nelayan dengan enjin masih hidup, namun pelik apabila tiada orang di dalam bot itu.

“Pada hari sama, kami menerima laporan polis daripada pemilik syarikat bot nelayan berkenaan yang memaklumkan bahawa tekong dan tiga nelayan hilang.

“Setakat ini, kami tidak pasti sama ada mereka diculik oleh empat lelaki bersenjata atau sebaliknya. Kami masih menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini.

Omar berkata, dua daripada mereka adalah warga tempatan manakala dua lagi warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, polis tidak dapat memastikan sama ada bot tunda itu diserang terlebih dahulu sebelum empat lelaki itu hilang.

“Kami tidak dapat mengesahkan sama ada empat mangsa itu diculik kumpulan berkenaan kecuali kami menerima panggilan daripada suspek untuk menuntut wang tebusan dan setakat ini belum ada panggilan diterima.

“Pasukan keselamatan sedang menyiasat secara terperinci mengenai kejadian empat nelayan dilaporkan hilang itu,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang kelmarin, bot tunda Magtrans II yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Sebaik tiba di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, sebuah bot warna hitam dinaiki empat lelaki lengkap bersenjata panjang jenis rifle M16 menghampiri dan menaiki bot tunda berkenaan lalu melepaskan tembakan.

Akibat tembakan itu, tekong bot tunda Didy Saviady, 40, cedera di paha selepas terkena tembakan dilepaskan suspek terbabit manakala semua kru selamat.

Omar berkata, mangsa yang terkena tembakan dari bot tunda masih menerima rawatan di Hospital Lahad Datu dan dalam keadaan stabil.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku dalam keadaan gelap dan mangsa di bot itu tidak mengetahui suspek datang dari arah mana, sama ada darat atau sempadan negara jiran.

“Kami masih menjalankan siasatan mengenai identiti semua suspek terbabit melalui maklumat dalaman dan kerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Suspek turut serang bot lain'

'Tekong cedera ditembak'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 10:37 AM