KULASEGARAN. FOTO Arkib NSTP
KULASEGARAN. FOTO Arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


BILANGAN pekerja diberhentikan majikan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jauh lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, laporan diterima Jabatan Tenaga Kerja dari 1 Januari hingga 30 September lalu merekodkan 15,903 pemberhentian pekerja oleh majikan.

“Bilangan ini lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2017 yang menyaksikan 31,945 pekerja diberhentikan.

“Kerajaan turut memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai 1 Januari 2018 sebagai satu bentuk perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang hilang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN UMNO-Bagan Datuk) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Zahid mahu mengetahui langkah diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah pengangguran di negara ini, terutama membabitkan pelajar lepasan universiti tempatan dan Iuar negara.

Kulasegaran berkata, bagi mengurangkan kadar pengangguran dan membantu penganggur terutama graduan mendapat kerja, kerajaan sentiasa melaksanakan program membantu golongan terbabit.

“Jumlah graduan pada 2017 adalah seramai 137,404 orang, meningkat 4.4 peratus daripada 131,600 graduan pada 2016.

“Golongan ini berada dalam proses peralihan daripada alam pembelajaran kepada pasaran pekerjaan.

“Antara perkara akan dan sudah dilaksanakan adalah sistem pekerjaan Jobs Malaysia yang dinaik taraf sebagai satu daripada projek pembangunan kementerian," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Zahid mengenai hasrat mewujudkan satu juta peluang pekerjaan seperti terkandung dalam buku Harapan, Kulasegaran berkata, ia akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

“Bila kita tulis terma dalam manifesto, itu semestinya akan dilaksanakan dan usaha meningkatkan gaji ke RM1,500 adalah dasar kerajaan itu semestinya boleh dicapai dalam lima tahun.

“Satu juta peluang pekerjaan adalah angka yang dapat kita capai dan ketika ini masalah bukan setakat angka terbabit, tetapi penggajian penuh yang mana peratusan yang tidak bekerja hanya 3.4 peratus.

“Ini menjadi masalah dan kekurangan tenaga kerja di negara ni dan usaha giat dibuat untuk meningkatkan tenaga kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 12:20 PM