PESERTA bersama sijil penyertaan yang diperoleh menerusi Kursus Microsoft Office Specialist Certification .
PESERTA bersama sijil penyertaan yang diperoleh menerusi Kursus Microsoft Office Specialist Certification .
Suliati Asri


DALAM usaha mengurangkan pengangguran akibat pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia melalui Program Penjana KPT-CAP dilancarkan sebagai salah satu inisiatif untuk graduan yang sukar mendapat pekerjaan.

Program itu juga diperkenalkan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, mengurangkan pengangguran dan mengekal serta meningkatkan kemahiran pekerja yang hilang pekerjaan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Di bawah pengurusan dan pemantauan Bahagian Kolaborasi Industri Dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB) berjaya menganjurkan Kursus Microsoft Office Specialist Certification yang bermula dari 16 hingga 19 November lalu.

Program yang julung kali diadakan itu adalah kolaborasi antara KKPB dan VAS Aero Malaysia Sdn Bhd iaitu pusat latihan diiktiraf Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dalam membantu graduan dan kakitangan bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang Aeroangkasa dan keselamatan.

Pengarah KKPB Mohd Faddilah Mohd Yusoh berkata, program berkenaan diadakan bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan mengenai Internet of Things (IoT) selari dengan Revolusi Industri 4.0.

Kandungan pengajaran dalam kursus itu juga katanya berdasarkan kemahiran yang diperlukan syarikat yang mengeluarkan 'Letter of Commitment' (LOC).

PESERTA sedang menjalankan Kursus Microsoft Office Specialist Certification .
PESERTA sedang menjalankan Kursus Microsoft Office Specialist Certification .

"Seramai 23 graduan berjaya mengikuti kursus selama empat hari dan 100 peratus peserta lulus dengan jayanya di dalam peperiksaan Microsoft Office Specialist.

"Lebih membanggakan, kursus ini mencapai matlamat apabila semua peserta ditawarkan penempatan pekerjaan sebaik selesai sesi temu duga yang dijalankan selepas kursus tamat," katanya.

Majlis penutup Program Penjana KPT-CAP sijil Microsoft Office Specialist Certification ini dirasmikan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri Dan Komuniti Zainah Rujihan.

Zainah dalam ucapannya berkata, Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran itu antara usaha dari kerajaan yang memberi manfaat besar kepada graduan yang bukan saja menangani graduan menganggur, malah memastikan golongan hilang pekerjaan dalam tempoh pandemik ini mengekalkan atau meningkatkan kemahiran mereka supaya dapat dimanfaatkan .

"Program Penjana KPT-CAP adalah inisiatif kerajaan supaya pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan ditawarkan kepada siswazah baharu serta graduan yang diberhentikan akibat kemelesetan ekonomi ditambah pula dengan penularan pandemik Covid-19.

"Pelbagai program dan inisiatif lain sedang dan akan dilaksanakan menerusi saluran ini bagi menambah baik ekosistem tenaga bakat muda negara serta pembangunan kebolehpasaran program. Jadi, graduan seharusnya merebut peluang yang disediakan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:43 AM