KEADAAN kemalangan yang membabitkan tiga lori dalam kejadian di Kilometer 254.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Senawang. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan yang membabitkan tiga lori dalam kejadian di Kilometer 254.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Senawang. FOTO Ihsan Bomba
Ifwan Tun Tuah


LELAKI maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer 254.3 Lebuhraya PLUS berhampiran Plaza Tol Senawang dekat Seremban, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian 5.46 pagi itu, ketiga-tiga lori terbabit terbalik, termasuk sebuah melintang di atas jalan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan 5.47 pagi dan sembilan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Kita dapati kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan kayu dan dua lori tangki di laluan menghala ke Selatan.

“Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan,” katanya di Seremban, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk hampir dua jam dan kini laluan Senawang- Pedas Linggi itu ditutup sepenuhnya untuk sementara waktu.

Jurucakap PLUS berkata, trafik menghala ke Selatan dilencongkan keluar melalui Plaza Tol Senawang dan pengguna jalan raya boleh masuk kembali ke PLUS melalui Plaza Tol Pedas Linggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 8:35 AM