SAMSURI mendukung bayi sambil disaksikan oleh Iliza Suriana. FOTO Imran Makhzan.
SAMSURI mendukung bayi sambil disaksikan oleh Iliza Suriana. FOTO Imran Makhzan.
Zaid Salim


PENANTIAN tujuh tahun suami isteri di Kuala Terengganu untuk bergelar ibu bapa berakhir apabila mereka dikurniakan bayi bayi perempuan, sempena Maulidur Rasul.

Bayi seberat 2.34 kilogram itu dilahirkan secara normal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), jam 7.05 malam semalam.

Iliza Suriana Refin, 35, berkata, dia dan suami A Mazlam Ibrahim, 52, tidak menyangka akan menerima anak sulung pada tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW.

“Saya bersyukur Allah makbulkan doa kami. Kami terlalu gembira dan berdoa semoga bayi ini membesar dalam keadaan baik, sempurna dan sihat," katanya yang berasal dari Kampung Gerai, Besut, Terengganu.

Iliza Suriana yang juga guru Sekolah Kebangsaan Tempinis, Besut, mengakui pernah kecewa dan putus asa apabila lambat dikurniakan anak.

Bagaimanapun, pasangan itu berikhtiar sama ada dengan kaedah moden dan juga tradisional, sehingga Iliza Suriana disahkan mengandung.

"Saya juga berpegang kepada janji Allah yang sudah menentukan rezeki untuk hamba-Nya dan hari ini Allah memberi rezeki yang sangat bernilai untuk kami," katanya.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar Dr Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman pada Program Permata Maulidur Rasul di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi, di HSNZ, hari ini.

Seramai 55 bayi Maulidur Rasul di lahirkan antara 7 malam semalam hingga 7.30 malam hari ini di Terengganu.

Daripada jumlah itu, HSNZ merekodkan paling banyak kelahiran iaitu seramai 36 orang, diikuti Kemaman (12), Besut (empat), Dungun (dua) dan seorang di Besut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 9:32 PM