FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zarina Abdullah


SUAMI isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Kampung Tempinis, Jertih, semalam.

Dalam kejadian pada 6.30 petang, mangsa Mat Halimi Ibrahim, 31, dari Kampung Pulau Berangan, Bukit Kenak maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Nik Malini Nik Omar, 31, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Jabi.

Ketua Polis Daerah Besut Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Honda EX5 dinaiki mereka dirempuh Proton Saga Aeroback yang hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan mangsa.

Katanya, ketika kejadian motosikal mangsa dari arah Kampung Tembila menghala ke Kampung Renek, manakala kereta berkenaan dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia, manakala anak lelaki mereka Mohd Haziq Daniel, 8, yang cedera dihantar ke Hospital Besut untuk menerima rawatan.

“Pemandu kereta berusia 49 tahun dari Kampung Lay Out Hilir, Kampung Jabi cedera di kepala juga dirujuk ke Hospital Besut,” katanya hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 10:32 AM