Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan empat mangsa kemalangan di Kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai, semalam, yang dirawat di dua hospital di negeri ini, akan menerima bantuan dan perkhidmatan sewajarnya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya akan memberi perhatian kepada semua mangsa berkenaan sepanjang dirawat.

Menurutnya, kerajaan negeri berdukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu dan berharap mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan,

"Difahamkan kemalangan berlaku selepas tayar kenderaan dinaiki pecah. Justeru pengguna jalan raya diingatkan lebih mengambil berat memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Saya berharap pemandu memastikan kenderaan ia berada pada tahap terbaik sebelum memulakan perjalanan, terutama yang membabitkan perjalanan jauh," katanya selepas majlis Penyampaian Cenderahati `Permata Maulidur Rasul' Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Pusat Rawatan Ibu & Bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 5:37 PM