Helmy Abd Rahman


KERAJAAN Negeri Terengganu akan memenuhi janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan membina 20,000 rumah mampu milik secara berperingkat di seluruh negeri ini.

Menariknya, setiap unit kediaman untuk rakyat itu bukan sahaja murah selepas diberikan subsidi malah akan disediakan garaj kereta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, untuk permulaan, sebanyak 710 unit rumah bakal dibina di empat lokasi iaitu di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus; Kampung Tempinis, Besut; Kampung Gong Cengal, Kemasik, Kemaman dan Kampung Tajin di Hulu Terengganu.

“Walaupun kita tambah baik dengan sediakan garaj kereta, harga rumah tetap sama iaitu RM68,000 selepas subsidi menjadikan komitmen bulanan hanya antara RM180 hingga RM200 sahaja yang perlu dibayar pemilik rumah.

“Ini antara komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah khususnya RM3,500 ke bawah untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, Perbadanan Memajukan Ikstisad Negeri Terengganu (PMINT) dilantik sebagai pelaksana projek berkenaan.

“Satu bengkel sudah diadakan bagi memuktamadkan pelan, struktur, saiz rumah dan sebagainya supaya semua rumah yang bakal dibina sama dan selesa untuk didiami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 6:06 PM