LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


SUAMI kepada wanita yang parah ditikam berhampiran pasar raya dekat Persiaran Dahlia 2, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Sabtu lalu, ditahan polis, hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari yang memaklumkan suspek berusia 24 tahun ditahan di rumah di Taman Bukit Tropika, Ulu Tiram, pada 2.30 petang.

Norazam berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan anggota Balai Polis Desa Cemerlang.

“Tangkapan adalah suami kepada mangsa ditemui di dalam rumah di Taman Bukit Tropika, Ulu Tiram. Berdasarkan siasatan awal suspek mengaku melakukan kejadian itu.

“Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan tahanan reman akan dipohon bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu, Norazam turut merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang membantu dan memberi maklumat.

Terdahulu, Polis Daerah Seri Alam berusaha mengesan suspek lelaki yang disyaki menikam isterinya dalam kejadian pada 9.30 malam.

Mangsa seorang wanita berusia 21 tahun itu cedera ditikam di bahagian leher, bahu dan dada menggunakan pisau pemotong sayur.

Siasatan awal mendapati mangsa dan suaminya dalam proses bercerai.

Sebelum ini catatan dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) di laman sosial memohon kerjasama orang ramai mencari seorang lelaki dengan gambar yang disertakan.

Dakwa wanita berkenaan, lelaki terbabit menikam sepupunya berkali-kali di pasar raya berkenaan.

Turut dimuat naik, video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa terbaring di atas jalan raya dengan kesan darah yang banyak sambil tangannya memegang lehernya dan meminta tolong.

Berita berkaitan

'Polis cari suspek tikam isteri'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 10:53 PM