Buaya yang ditangkap penduduk di Sungai Seblak di Kampung Emplam, Saratok, hari ini. FOTO ihsan penduduk
Buaya yang ditangkap penduduk di Sungai Seblak di Kampung Emplam, Saratok, hari ini. FOTO ihsan penduduk
Ekhwan Haque Fazlul Haque


BUAYA sepanjang empat meter dengan berat lebih 200 kilogram ditangkap penduduk di Sungai Seblak di Kampung Emplam, Saratok, hari ini.

Reptilia itu ditangkap penduduk kampung kira-kira 5 pagi selepas ia memakan umpan ayam yang dipasang sejak empat hari lalu.

Penduduk, Rosli Ili, 43, berkata, penduduk kampung bersepakat untuk memasang umpan ayam di sungai berkenaan sejak empat hari lalu bagi menjejaki sang bedal berkenaan.

Menurutnya, reptilia itu sering muncul terutamanya ketika air pasang sehingga banyak ternakan penduduk kampung dibaham.

Katanya, buaya bertindak agresif untuk melepaskan diri sebelum seorang penduduk kampung melepaskan empat das tembakan bagi melemahkan reptilia itu.

“Penduduk kampung bimbang apabila buaya berkenaan semakin berani muncul terutamanya ketika air pasang dan menjadi ancaman sekiranya tidak ditangkap secepat mungkin.

"Sebelum ini, sudah beberapa kali penduduk kampung memasang umpan ayam namun ia tidak mengena dan reptilia itu terlepas sebelum kembali memakan ternakan seperti itik dan ayam dibela penduduk di dalam reban," katanya hari ini.

Rosli berkata, buaya berkenaan yang sudah lemah kemudiannya ditarik penduduk kampung ke tebing sungai berkenaan sebelum mati.

Dia berkata, penduduk kampung yang menjalankan aktiviti menangkap udang galah sering terserempak dengan buaya itu berkenaan namun tiada insiden serangan dilaporkan berlaku.

"Kali terakhir penduduk kampung menjadi mangsa dibaham buaya pada 2015 dan kami tidak mahu kejadian sama kembali berulang dan lebih ramai yang akan menjadi mangsa," katanya..

Buaya di Sarawak sudah dikeluarkan dari senarai haiwan yang dilindungi berikutan konflik yang tinggi dengan manusia selain penduduk dibenarkan memburu buaya selepas mendapat lesen daripada pihak berkuasa negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 4:03 PM