GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


SEORANG tekong darat yang mengambil upah RM100 bagi setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa masuk ke negara ini, berjaya ditahan polis bersama enam warga Myanmar, semalam.

Serbuan jam 8.35 pagi oleh Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7C) Bukit Aman itu dilakukan selepas polis menerima maklumat berhubung kegiatan itu di sebuah rumah di Taman Darulaman Jaya, Bandar Darulaman, Jitra.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata, ketika serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun bersama seorang wanita dan lima lelaki warga Myanmar berusia 18 hingga 40 tahun berada di dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI.

“Siasatan awal terhadap suspek mengaku menyimpan enam orang itu yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk dihantar ke tempat lain dengan upah RM100 bagi setiap orang.

“Semakan juga mendapati rumah itu disewa dari seorang lelaki dengan didaftarkan atas nama sebuah syarikat,” katanya.

Mohd Ismail berkata, susulan penahanan suspek, polis menahan seorang lagi lelaki warga Myanmar di daerah ini yang disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan.

“Lelaki warga Myanmar itu bertindak sebagai orang tengah dalam penyeludupan PATI, malah dia juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 1:14 PM