Shamsul Munir Safini

BURUH lelaki yang juga penagih dadah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas tuduhan meliwat pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh, M Nadarajan, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhayati Mohammad Yunus.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nadarajan yang bekerja sebagai buruh ditahan reman bersama mangsa berusia 22 tahun di dalam sel yang sama bagi siasatan kes berkaitan penagihan dadah di pusat berkenaan.

Nadarajan didakwa melakukan kesalahan itu pada 12.05 pagi 25 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

ANGGOTA polis mengiringi  M Nadarajan, 47, di Kompleks Mahkamah Butterworth. FOTO Ramdzan Masiam
ANGGOTA polis mengiringi M Nadarajan, 47, di Kompleks Mahkamah Butterworth. FOTO Ramdzan Masiam

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Tahanan Reman Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiam membenarkan ikat jamin RM15,000 ke atas tertuduh manakala 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 11:34 AM