Shamsul Munir Safini


PEGAWAI Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas lapan pertuduhan memindahkan wang daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM4.02 juta pada September 2015.

Mohd Khairi Othman, 38, berdepan tujuh pertuduhan memindahkan sejumlah wang dari akaun bank milik Hassan Muhammad Yusuf@Daud ke beberapa akaun di sebuah bank di Jelutong antara 4 hingga 8 September 2015.

Dalam satu lagi pertuduhan, dia didakwa menggunakan wang RM123,767 hasil aktiviti haram untuk membeli sebuah motosikal BMW R120 pada 15 Disember 2016 di sebuah bank di Simpang Ampat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Hakim Sitarunnisa Abdul Aziz membenarkan ikat jamin tertuduh RM200,000 dengan seorang penjamin manakala 13 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi Mohd Khairi ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan pengubahan wang haram. FOTO Amir Irsyad Omar
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi Mohd Khairi ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan pengubahan wang haram. FOTO Amir Irsyad Omar

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Muhammad Nadzri, manakala tertuduh diwakili peguam Ridha Abdah Subri.

Semalam, tiga sekeluarga termasuk tertuduh yang juga seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan rasuah membabitkan RM12.5 juta sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh dan isterinya Noorashikin Azmi, 38, dari Taman Rahmat, Jitra, serta kakak Mohd Khairi, Huziana Othman, 48, dari Taman Suasana Damai, Jitra, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan, di depan Hakim Azman Abu Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 3:20 PM