MUSTAFAR (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Mohd Fauzi Md Isa (kiri) dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Pejabat JIM Kuala Lumpur di Jalan Duta, hari ini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
MUSTAFAR (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Mohd Fauzi Md Isa (kiri) dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Pejabat JIM Kuala Lumpur di Jalan Duta, hari ini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Nurul Hidayah Bahaudin


GUNA bilik rahsia untuk memalsukan kuota pekerja asing dengan berselindung di sebalik perniagaan agensi pelancongan.

Malah, sindiket itu dipercayai mengaut keuntungan puluhan juta ringgit dalam tempoh hampir lapan tahun mereka menjalankan kegiatan itu.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket dianggotai lapan lelaki warga India dan seorang lelaki tempatan itu terbongkar selepas mereka ditahan dalam operasi dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam serbuan 7.30 malam itu, semua suspek berusia antara 23 hingga 73 tahun ditahan di pejabat sindiket terbabit yang juga sebuah syarikat agensi pelancongan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa selepas risikan hampir tiga bulan terhadap premis berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek tidak memberikan kerjasama dan cuba memperdaya pegawai imigresen dengan memaklumkan tidak wujud aktiviti salah guna sistem JIM di premis berkenaan.

“Selepas pemeriksaan dilakukan dengan teliti hampir setengah jam, kami menemui satu bilik rahsia di sebalik dinding premis itu,” katanya pada sidang media di Pejabat JIM Kuala Lumpur, hari ini.

Mustafar berkata, hasil pemeriksaan terhadap bilik rahsia itu, pihaknya menemui pasport, peti besi serta komputer yang dipercayai digunakan dalam kegiatan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 1,731 pasport milik individu dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Pakistan dan Myanmar.

Katanya, selain itu, pihaknya turut merampas wang tunai hampir RM100,000 serta lapan komputer yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

“Sindiket itu dipercayai menjalankan aktiviti salah guna sistem JIM (MyIMMS) yang terbabit dengan kuota palsu pekerja asing sejak hampir lapan tahun lalu dan sudah mengaut keuntungan puluhan juta ringgit.

“Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan khidmat kepada syarikat memerlukan pekerja asing dengan memberikan jaminan bahawa setiap permohonan dibuat akan diluluskan dengan harga jauh lebih mahal berbanding kadar bayaran sebenar.

“Sebanyak RM7,000 bayaran dikenakan bagi pekerja belum memasuki negara ini yang memerlukan surat Visa Dengan Rujukan (VDR), manakala pekerja berada di dalam Malaysia, bayaran dikenakan adalah RM1,500 untuk tujuan memasukkan maklumat pekerja ke dalam sistem JIM yang digodam.

“Apabila maklumat pekerja sudah dimasukkan ke dalam sistem imigresen, sindiket ini akan mendapat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui MyEG,” katanya.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menguruskan kemasukan pekerja asing dari negara sumber terutama dari India dan Sri Lanka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, 40 syarikat dikenal pasti berurusan dengan sindiket terbabit digesa tampil bagi membantu siasatan sebelum tindakan lebih tegas dikenakan terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 10:54 PM