Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya melumpuhkan satu sindiket terbesar yang terbabit dalam pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Kegiatan sindiket itu yang membabitkan kerugian kepada hasil kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing mencecah ratusan juta ringgit.

Lima individu termasuk ketua sindiket bergelar Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi.

Sumber berkata, kesemua suspek berusia antara 33 tahun hingga 43 tahun ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh SPRM dan JIM sejak setahun yang lalu.

"Sindiket ini dengan kerjasama 'orang dalam' berjaya mengodam pengkalan data JIM dengan memasang 'transmiter' untuk membolehkan anggota sindiket untuk menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat JIM.

"Ini adalah suatu pencerobohan ke dalam pengkalan data agensi kerajaan dan juga isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.

"Keupayaan ahli-ahli sindiket mengodam sistem komputer JIM membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini," katanya.

Menurutnya, dianggarkan ratusan ribu PLKS palsu sudah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 bagi setiap PLKS.

"Isu ini pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.

"Modus operandi sindiket adalah mengodam sistem imigresen dengan memasang transmiter di bilik komputer JIM hasil kerjasama orang dalam.

"Sindiket ini berupaya mengodam, menukar dan menggunakan kata laluan pegawai-pegawai imigresen untuk memasukkan nama-nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah. Walhal ianya hasil tindakan penggodaman sistem JIM," katanya.

Menurutnya, lebih menggerunkan di mana, sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status 'senarai hitam' atau `red alert' seseorang individu untuk membolehkan individu terbabit melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu. "Kesemua operasi dilakukan di luar pejabat imigresen menggunakan transmiter dan sistem yang diklonkan dari pengkalan data imigresen.

"Hasil serbuan semalam berjaya merampas peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmiter yang digunakan sindiket ini. Sindiket ini dipercayai sedang beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail di sini.

"Mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu , Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau menegaskan bahawa siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk 'orang dalam' dikenakan tindakan yang sewajarnya.

SPRM memuji ketegasan Ketua Pengarah JIM kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 12:39 PM