Farah Suhaidah Othman

LIMA belas warga asing ditahan selepas didapati memiliki 15 motosikal dipercayai dicuri di ladang sawit di Batu Gajah, hari ini.

Dalam operasi tiga jam bermula 1 pagi itu, semua ditahan warga Indonesia dan India berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, operasi hasil maklumat awam dan risikan, lebih seminggu.

Katanya, sejumlah 185 motosikal diperiksa di rumah kongsi ladang itu dan 15 dikesan tidak mempunyai dokumen lengkap dan dipercayai kenderaan curi.

“Rata-rata pemilik motosikal tidak dapat memberikan keterangan mengenai motosikal itu berikutan ia diwarisi daripada pemilik terdahulu.

“Pemeriksaan lanjut turut dapati ia tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah,” katanya ditemui NSTP di lokasi serbuan.

Yahya berkata, warga asing yang ditahan dan motosikal disita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki kenderaan curi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 9:31 PM