ADA pembaca cadangkan harga rumah mampu milik diturunkan kepada RM80,000.
ADA pembaca cadangkan harga rumah mampu milik diturunkan kepada RM80,000.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Harga rumah mampu milik yang lebih rendah, lanjutan Bantuan Sara Hidup (BSH), tiada cukai baru serta lebih banyak peluang pekerjaan adalah perkara yang diharapkan rakyat pada pembentangan Bajet 2019 di Parlimen pada 2 November ini.

Perkara itu dinyatakan dalam tinjauan melalui laman sosial Facebook Berita Harian dan Harian Metro yang meminta pembaca mengemukakan lima harapan dan cadangan untuk Bajet 2019.

Tinjauan yang memfokuskan kepada harapan dan cadangan rakyat kepada kerajaan itu dimulakan Isnin lalu dan mendapat banyak maklum balas daripada pembaca.

Selain empat harapan itu, pembaca mahukan tumpuan khusus kepada golongan pekerja sektor swasta seperti peningkatan gaji asas supaya selari dengan kelangsungan hidup semasa di bandar dan luar bandar.

Tinjauan mendapati pembaca berharap harga bahan api diturunkan selain mencadangkan bayaran tol dikenakan pada harga 50 peratus lebih murah berbanding sedia ada.

Seorang pembaca dikenali sebagai Siti Suhana Ahmad mencadangkan, harga minyak RON95 perlu turun lagi dan harga rumah mampu milik ditetapkan pada RM80,000 seunit.

“Sebagai rakyat, saya mencadangkan BSH diteruskan bukannya dimansuhkan sama sekali dan tiada keperluan untuk perkenal cukai baru kerana ia menyusahkan rakyat.

“Apa yang penting adalah untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan,” katanya.

Alif Jw berkata, kerajaan perlu mengutamakan rakyat luar bandar kerana ramai yang berada pada paras kemiskinan.

“Sebagai pentadbir yang prihatin, kerajaan seharusnya menitikberatkan perihal kebajikan pekerja sektor swasta,” katanya.

Rozita Zainun berpendapat akan ada khabar berita baik untuk pekerja swasta.

“Tidak adil kerana sebelum ini pelbagai kemudahan dan manfaat diterima penjawat awam saja dan kita harap dalam Bajet 2019 ada sesuatu untuk kami dari sektor swasta,” katanya.

Sementara itu, Azlinda Azman yang mengulas mengenai kos sara hidup berkata, sekiranya kerajaan tidak berniat menghapuskan tol, pilihan lain yang ada ialah dengan mengurangkannya.

“Jika ada mana-mana kontrak tol yang hampir tamat, usah teruskannya,” katanya.

Cadangan lain yang diketengahkan dalam tinjauan ini adalah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan beri peluang kepada rakyat tempatan.

Zayed Farhan berkata, tambahkan jawatan kosong untuk rakyat Malaysia bekerja dan menghantar pulang warga asing di negara ini.

Hakimi Zainol II berharap kerajaan membela nasib golongan orang kurang upaya (OKU) dan tidak mengabaikan mereka daripada segi kebajikan, keperluan dan pekerjaan.

Anuar Ruzaini mempunyai harapan kerajaan mempergiat usaha menarik lebih banyak pelaburan bagi kemakmuran ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 10:28 AM