SYAKILA bersama suaminya membersihkan rumah mereka yang dilanda banjir semalam susulan hujan lebat lebih sejam. FOTO Genes Gulitah.
SYAKILA bersama suaminya membersihkan rumah mereka yang dilanda banjir semalam susulan hujan lebat lebih sejam. FOTO Genes Gulitah.
Raja Noraina Raja Rahim


Sungai Buloh: Empat sekeluarga termasuk seorang penghidap angin ahmar bersyukur sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka dinaiki air, semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam, kira-kira 20 kediaman penduduk Kampung Kubu Gajah, di sini dinaiki air antara 0.9 hingga 1.5 meter, susulan hujan lebat lebih sejam.

Menceritakan kejadian, Siti Hajar Mohamad, 51, berkata, air naik dengan cepat menyebabkan dia bersama dua anak perempuan hanya sempat menyimpan barang berharga.

"Pada mulanya air cuma paras buku lali tapi sekelip mata je air naik ke paras lutut. Kami segera simpan barang elektrik, permaidani dan dokumen ke tempat tinggi.

"Saya kemudian memapah suami yang menghidap strok, berjalan ke rumah abang saya yang terletak berhampiran kerana bimbang air semakin tinggi dan rumah kami boleh tenggelam," katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Siti Hajar berkata, sebaik banjir surut kira-kira 12 tengah malam tadi, mereka pulang semula ke rumah dan pasrah melihat beberapa barang hanyut, selain lantai rumah dipenuhi lumpur.

Katanya, ia bukan kejadian pertama sebaliknya kawasan kampung yang terletak berdekatan sungai itu kerap dilanda banjir sejak dua tahun lalu.

"Sebelum ini tak pernah banjir pun tapi sejak banyak kawasan perumahan baharu dibangunkan, keadaan makin teruk. Apabila hujan saja air sungai akan melimpah.

"Kami sudah penat setiap kali hujan lebat berterusan pasti rumah kami akan dinaiki air. Dah macam-macam wakil agensi kerajaan datang buat pemeriksaan tapi sehingga kini keadaan masih sama," katanya yang juga penduduk tetap di kampung itu sejak 1970-an.

Seorang lagi penduduk, Syakila Md Razali, 31, berkata, ketika kejadian dia dan suami Muhammad Sulaiman Jamaluddin dalam perjalanan pulang ke rumah, sebelum dihubungi adiknya memaklumkan kejadian itu.

Katanya, sebaik tiba mereka terpaksa parkir kereta di tepi jalan kerana laluan masuk ke kampungnya sudah dinaiki air.

"Air sudah di paras pinggang semasa saya dan suami berjalan ke rumah. Mujur adik dan ibu sempat simpan barang berharga. Sebelum ini dah banyak peralatan rumah yang rosak dan menanggung kerugian ribuan ringgit akibat banjir.

"Ini kejadian banjir keempat tahun ini. Kawasan rumah kami dekat sungai jadi setiap kali hujan lebat mesti akan banjir. Tambah pula keadaan longkang yang tidak diselenggara dan tersumbat menyebabkan air melimpah," katanya.

Dia berharap pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian segera bagi mengelak kejadian sama berulang dan penduduk terpaksa menanggung kerugian serta kerosakan harta benda akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 2:57 PM