BAYI berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
BAYI berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

MISTERI tangisan pada awal pagi terungkai dengan penemuan bayi lelaki di dalam tandas di Hentian Lanchang, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, dekat Temerloh, hari ini.

Bayi tanpa sebarang pakaian dan dipercayai baru dilahirkan itu ditemui oleh seorang wanita di atas para di dalam tandas bernombor 11, jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmod berkata, wanita berkenaan memaklumkan dia ada mendengar bunyi tangisan bayi, jam 4.30 pagi.

Beliau berkata, pada mulanya, dia tidak menghiraukan tangisan itu tetapi curiga apabila bunyi itu tidak berhenti selama setengah jam.

“Dia kemudian membuat pemeriksaan di dalam tandas sebelum menemui bayi lelaki dalam keadaan bogel. Ada najis berwarna kehitaman yang sudah kering pada bayi berkenaan.

“Wanita itu kemudiannya mengambil kain pelekat dan telekung yang dari surau berhampiran untuk membalut bayi berkenaan sebelum menghubungi polis,” katanya.

Zundin berkata, siasatan awal, pihaknya mendapati tiada sebarang kesan darah pada badan bayi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya bayi itu dilahirkan di tempat lain sebelum ditinggalkan dalam tandas terbabit.

“Pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mendapati bayi berkenaan sihat sebelum dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek memandangkan kawasan hentian itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 3:01 PM