SAKINAH memasukkan bahan  ke dalam bubur asyura.
SAKINAH memasukkan bahan ke dalam bubur asyura.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: Tradisi memasak bubur asyura yang dilakukan sejak 100 tahun lalu di Kampung Pak Madah, Bukit Payong sehingga kini masih kekal menggunakan resipi sama dan dimasak secara gotong-royong.

Uniknya tradisi memasak bubur asyura di kampung itu menggunakan resipi rempah-ratus yang diwarisi penduduk kampung sejak seabad lalu.

Tukang masak utamanya, Sakinah Ibrahim, 52, berkata, dia mewarisi resipi masakan bubur asyura itu daripada ibunya dan ia memang resipi tetap bubur asyura dari Kampung Pak Madah.

“Lebih 100 tahun resipi rempah bubur asyura ini digunakan penduduk kampung untuk menyediakan bubur asyura hingga ke hari ini.

“Bahan asasnya seperti ayam, ikan, keledek dan beras ini sama saja, tetapi rempah kami gunakan ini diadunkan mengikut resipi diwarisi menjadikannya lain daripada yang lain.

“Biasanya bubur asyura mengambil masa selama enam hingga tujuh jam untuk masak,” katanya.

 PENDUDUK yang terdiri daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Belia 4B dan ahli Jawatankuasa masjid bergotong-royong memasak dan mengacau bubur asyura.
PENDUDUK yang terdiri daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Belia 4B dan ahli Jawatankuasa masjid bergotong-royong memasak dan mengacau bubur asyura.

Menurutnya, bagi mengekalkan kesinambungan resipi bubur asyura di kampung itu, dia sudah mewariskan resipi pembuatan rempah itu kepada ahli keluarganya dan penduduk kampung yang berminat.

“Ilmu serta resipi pembuatan bubur asyura ini kepunyaan semua. Justeru saya tidak lokek untuk berkongsi warisan ini.

“Harapan saya supaya resipi ini berterusan digunakan daripada satu generasi ke generasi yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Pak Madah, Mohd Deraman berkata, program yang dijalankan itu ialah tradisi tetap penduduk kampung setiap kali menyambut Maal Hijrah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 11:42 AM