MOHAMAD Rahmat (tengah) bertanyakan sesuatu kepada warga asing yang ditahan. FOTO Azhar Ramli
MOHAMAD Rahmat (tengah) bertanyakan sesuatu kepada warga asing yang ditahan. FOTO Azhar Ramli
Hidayatul Akmal Ahmad


BIMBANG ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,kebanyakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diperiksa dalam serbuan di kondominium di Bandar Saujana Putra, Puchong, hari ini menggunakan alasan pasport mereka berada pada pihak universiti.

Dalam serbuan 1 pagi tadi, 45 warga asing dari Nigeria (20 orang), Guinea (10), Somalia (5),Yaman (4), Bangladesh (3) manakala Libya, Uganda dan Maldives masing-masing seorang ditahan.

Ketua Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor Mohamad Rahmat Abdul Manap berkata, daripada 181 warga asing yang diperiksa, 45 pendatang tanpa izin ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan 14 wanita kebanyakan masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar.

“Mereka ini menggunakan alasan pihak universiti menahan pasport mereka kerana gagal menjelaskan yuran dan ada juga yang mengakui mereka dalam proses melanjutkan pengajian.

“Ada juga antara mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa, salah guna pas,” katanya kepada pemberita selepas operasi tamat.

Mohamad Rahmat berkata, anggota terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu ketika operasi kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

Beliau berkata,pihaknya melakukan risikan selama dua minggu sebelum menjalankan operasi membabitkan kekuatan 68 anggota JIM.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun dibawa ke bahagian penguatkuasaan JIM Selangor untuk siasatan selanjutnya sebelum dihantar ke Depot Tahanan di Semenyih.

“Mereka direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dengan siasatan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 1:59 PM