AHLI Pertubuhan Kebajikan Mesra Rakyat Kuala Lumpur menyertai program eksplorasi di Bukit Besi, baru-baru ini.
AHLI Pertubuhan Kebajikan Mesra Rakyat Kuala Lumpur menyertai program eksplorasi di Bukit Besi, baru-baru ini.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Aktiviti kemasyarakatan dan program sihat semakin kurang mendapat sambutan terutama membabitkan golongan remaja berikutan mereka lebih berminat menghabiskan masa dengan gajet selain melepak sambil berbual kosong.

Perkara berkenaan semakin parah seterusnya menjadi perkara biasa kepada mereka menyebabkan beberapa individu menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Mesra Rakyat Kuala lumpur (PKMRKL) bagi memastikan orang ramai tidak lagi hanya duduk di rumah tanpa melakukan aktiviti berfaedah.

Ditubuhkan tiga bulan lalu, PKMRKL terus mengorak langkah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat seterusnya memastikan mereka tidak lagi menjadikan gajet sebagai hiburan atau melepak dengan melakukan perkara menyalahi undang-undang.

Setiausahanya Yusniza Mohamed Yusoff berkata, dia bersama ahli pertubuhan akan merangka aktiviti lasak bersama NGO lain selain turut melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti membantu golongan memerlukan.

“Ahli kami terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk anggota beruniform dan pekerja swasta serta kerajaan yang bersama-sama menganjurkan pelbagai aktiviti untuk masyarakat.

“Kami tidak mahu menjadi NGO yang hanya aktif pada waktu tertentu sahaja seterusnya tidak memberikan sebarang manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, baru-baru ini pihaknya bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) melakukan eksplorasi menuju ke puncak Bukit Besi, Dungun, Terengganu.

“Seramai 200 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program berkenaan dengan matlamat memberi pendidikan dan pendedahan kepada individu untuk menyelamatkan diri jika tersesat di kawasan hutan.

“Eksplorasi itu dibuat kerana sekarang ini kita sering mendengar ada individu tersesat ketika melakukan aktiviti redah hutan dan mendaki bukit selain mereka tidak mengetahui tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, aktiviti dilakukan pihaknya mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan remaja yang berminat melakukan program lasak.

“Kami turut mengalu-alukan penyertaan daripada ahli luar Kuala Lumpur kerana aktiviti bakal dilaksanakan pada masa akan datang juga akan dilakukan di negeri lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 1:05 PM