Marina Osman berceramah pada program Persediaan Menuju Ramadan di resort Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Marina Osman berceramah pada program Persediaan Menuju Ramadan di resort Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: "Isteri yang menyediakan pakaian lengkap untuk suami dan anak sebelum mereka melangkah ke masjid menunaikan solat fardu dan sunat terawih, diberikan ganjaran pahala sama seperti diperoleh suami dan anak, malah digandakan sepanjang Ramadan," ujar penceramah dari Kor Agama Angkatan Tentera, Kem Terendak, Sungai Udang, Marina Osman.

Menurutnya, segala ganjaran itu digandakan berikutan Ramadan al-Mubarak adalah bulan paling mulia yang disediakan pahala lebih tinggi berbanding bulan yang lain.

"Pahala kita menyediakan pakaian untuk anggota keluarga kita yang ke masjid sama seperti pahala mereka beribadat," katanya ketika berceramah kepada 200 ahli Pertubuhan GerakNissa Masjid Tanah pada program Persediaan Menuju Ramadan di sebuah resort di Pantai Padang Kemunting, di sini, tadi.

Ia dirasmikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin. Turut hadir, Pengerusi pertubuhan itu, Norizan Hashim dan Timbalan Pengerusi, Noorusa'adah Ramli.

Sementara itu, ketika berucap, Mas Ermieyati meminta lebih ramai wanita terbabit dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan GerakNissa Masjid Tanah bagi membantu memajukan golongan berkenaan.

"Saya bimbang gejala sosial yang membabitkan wanita dan anak gadis kita sekarang dan usaha untuk mengurangkannya bukan hanya terletak pada bahu kerajaan.

"Saya sendiri tidak mampu untuk menjalankan terlalu banyak aktiviti kemasyarakatan yang ada kaitan dengan wanita dan terpaksa bergantung harapan kepada NGO berkaitan wanita untuk membantu saya," katanya.

Norizan berkata, NGO terbabit ditubuhkan beberapa bulan lalu dengan objektif utamanya memajukan sosioekonomi wanita, terutama dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kami menggalakkan lebih ramai wanita memajukan PKS dan bersedia membantu mereka mendapatkan pinjaman daripada pelbagai agensi kerajaan.

"Kami juga membuat kerja sosial, terutama membantu wanita yang uzur dan sakit serta anggota keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata, setakat ini kebanyakan program pertubuhan itu digerakkan melalui dana sumbangan ahli dan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti masa depan, ia berusaha mendapatkan sumbangan pelbagai pihak.

Mereka yang ingin menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan, terutama membantu golongan memerlukan pada bulan Ramadan, diminta menghubungi Norizan (019-2590951) atau Noorusa'adah (01113179001)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 4:08 PM