PEKERJA memotong serpihan pintu gerbang yang runtuh ketika ribut di Persiaran Jubli Emas berhampiran Repoh, Kangar sebelum ia dialihkan bagi melancarkan aliran trafik. FOTO Hafizudin Mohd Safar.
PEKERJA memotong serpihan pintu gerbang yang runtuh ketika ribut di Persiaran Jubli Emas berhampiran Repoh, Kangar sebelum ia dialihkan bagi melancarkan aliran trafik. FOTO Hafizudin Mohd Safar.
Hafizudin Mohd Safar


DUA pemandu kereta terselamat walaupun kenderaan mereka dihempap struktur pintu gerbang yang roboh di Persiaran Jubli Emas, Kangar ketika kejadian ribut melanda Perlis, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, dua pemandu kereta berkenaan sedang melalui laluan terbabit sebelum struktur pintu gerbang diterbangkan angin dan tumbang ke arah kenderaan mereka.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata struktur pintu gerbang yang roboh menghempap bahagian bumbung kereta dipandu lelaki berusia 30-an.

“Kedua-dua pemandu dilaporkan tidak cedera, namun berdasarkan laporan dibuat, bumbung kereta mereka rosak teruk selepas terkena serpihan struktur pintu gerbang yang runtuh.

“Kejadian itu menyebabkan laluan menghubungkan Kangar dan Arau terputus sementara dan kerja mengalihkan struktur selesai dilakukan pada 4 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) terpaksa memotong serpihan pintu gerbang bagi membolehkan struktur rosak itu dialihkan segera.

Wari berkata, laluan berkenaan sudah dibuka semula menjelang pagi ini dan pengguna boleh melaluinya seperti biasa.

“Kejadian ribut malam tadi turut menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar Kangar.

“Seorang remaja turut maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pokok tumbang yang menghalang jalan di kawasan Kampung Baru Tok Kuning pada 11.45 malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 10:48 AM