Pendaki Gunung Sepincan dan Bukit Permata bergambar sebelum memulakan perjalanan turun.
Pendaki Gunung Sepincan dan Bukit Permata bergambar sebelum memulakan perjalanan turun.
Sepuluh pendaki Cabaran Gunung Daik yang diketuai Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa (kiri sekali) berjaya sampai di titik akhir pada jam 11 pagi.
Sepuluh pendaki Cabaran Gunung Daik yang diketuai Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa (kiri sekali) berjaya sampai di titik akhir pada jam 11 pagi.
Husain Jahit

SELEPAS mengharungi pelbagai cabaran dan halangan, seramai 10 pendaki berjaya sampai ke titik akhir Gunung Daik pada ketinggian 1080 meter dari paras laut (mdpl), manakala 30 yang lain menawan dua puncak gunung serentak iaitu Gunung Sepincan serta Bukit Permata yang masing-masing berketinggian 767 mdpl dan 1001 mdpl pada Ahad lalu.

Ketua Pendaki Gunung Daik, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, kesemua sepuluh pendaki sampai ke titik terakhir itu pada jam 12.30 tengah hari selepas tiga jam mendaki pada hari kedua dari tapak perkhemahan di ketinggian 450 mdpl.

"Walaupun pada awalnya kami dijadualkan mula bergerak ke titik akhir itu pada jam 7 pagi, namun terpaksa ditangguhkan seketika kerana hujan lebat dan kabus tebal," katanya.

Menurut Mohd Fakhrul Munir, pendakian tamat di titik terakhir kerana untuk perjalanan ke puncak memerlukan panjatan tembok batu menggunakan peralatan khas mendaki yang lengkap.

"Ia juga memerlukan masa yang lebih panjang atau tambahan hari untuk membuat laluan dan memasang tali ke puncak walaupun hanya setinggi 165 mdpl," katanya.

Sementara itu, atas alasan pelbagai faktor terutamanya keselamatan dan peraturan mendaki, pihak berkuasa tempatan menasihatkan 30 pendaki lain mendaki Gunung Sepincan dan Bukit Permata di bersebelahan Gunung Daik yang memiliki cabaran hampir sama.

Pendakian diiringi dua orang jurupandu dan lima porter.

Selepas pendakian selama 12 jam, pendaki terakhir selamat sampai di puncak pada jam 9 malam disambut kabut tebal dan angin kencang di tapak perkhemahan.

Menurut Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan merangkap Ketua Ekspedisi Datuk Shahruddin Ahmad kejayaan itu membuktikan semangat jitu dan kesetiakawanan dalam kalangan pendaki terutamanya Pemuda Umno Pekan yang kebanyakannya baru pertama kali mengikuti aktiviti lasak ini.

"Saya yang mengalami sendiri pendakian ke dua puncak gunung ini mendapati ia amat mencabar mental dan fizikal yang bukan saja datangnya dari trek malah, keadaan cuaca hujan hampir sepanjang perjalanan," katanya.

"Walaupun begitu, ia tidak mematahkan semangat kami untuk menggapai puncak dan mengibarkan Jalur Gemilang bersempena dengan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia sebagai tanda semangat patriotisme dalam kalangan kami semua," katanya lagi.

Program dianjurkan pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pekan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Kelab Media Pahang sempena sambutan Hari Malaysia dan menyemarak bulan kemerdekaan negara.

Turut serta ialah Presiden Kelab Media Pahang Datuk Nik Naizi Husin dan Pengarah JBPM Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Selain penulis, pasukan media turut disertai oleh Linda Khoo dari Bernama, Norzasrudin Mohamad Nor dan Mohd Mahathir Mohd Ali Utusan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 11:38 AM