PETUGAS SPR, Nur Syahirah Abdullah, melakukan persiapan terakhir di pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia di SK Sri Kelana, Kelana Jaya, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PETUGAS SPR, Nur Syahirah Abdullah, melakukan persiapan terakhir di pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia di SK Sri Kelana, Kelana Jaya, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Rohaniza Idris


SELEPAS kempen 21 hari, pengundi di Seri Setia akan menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memilih wakil rakyat baru mereka, hari ini.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 53,492 pengundi berdaftar sebagai pemilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

PRK ini menyaksikan calon PAS, Dr Halimah Ali mencabar calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar.

Halimey anak tempatan, pengundi Seri Setia adalah bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manakala Halimah bekas Exco Kerajaan Selangor ketika Pakatan Rakyat (PR) memerintah di Selangor.

Halimah adalah calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu untuk DUN Selat Klang namun tewas kepada calon Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Datuk Abdul Rashid Asari.

Cabaran terbesar untuk pengundi Seri Setia bukannya untuk memilih calon tetapi memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Kebimbangan mengenai jumlah yang keluar mengundi ini dipengaruhi prestasi buruk pada PRK Sungai Kandis bulan lalu yang mana hanya 49.9 peratus pengundi yang keluar.

Peratusan itu adalah yang terburuk pernah dicatatkan di negara ini.

PRK Seri Setia turut mencatatkan sejarah bersama PRK Balakong menjadi pilihan raya kecil yang paling lama tempoh berkempen iaitu 21 hari selain kali pertama calon menggunakan logo PH.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Profesor Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas menderita barah usus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 8:04 AM