Siti Nur Mas Erah Amran dan Norrasyidah Arshad


CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya beliau menarik diri daripada menghadiri program televisyen bersama pesaingnya dari PAS, Dr Halimah Ali, pada Rabu lalu.

Katanya, beliau sebenarnya tidak menerima sebarang jemputan berhubung program terbabit.

“Tidak timbul isu tarik diri atau takut nak berdebat sebab saya tidak dijemput untuk menjadi tetamu undangan.

“Daripada segi komunikasi, ada masalah tetapi yang pasti, saya tak terima apa-apa jemputan,” katanya.

Halimey berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu tular di laman sosial yang mendakwa beliau menarik diri daripada berdebat bersama Dr Halimah.

Dalam perkembangan lain, Halimey yakin, masyarakat setempat tidak tergugat dengan isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau isu janji 100 hari selepas PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“Mereka tak tanya pun malah saya akan pastikan isu yang dibangkitkan akan diberi perhatian supaya kebajikan semua terjaga.

“Saya akan terus penuhi jemputan program diaturkan kerana misi kami adalah untuk mengekalkan PH di Seri Setia,” katanya.

Sementara itu, Dr Halimah mendakwa stesen televisyen terbabit terlebih dahulu Halimey sebagai jemputan program debat dianjurkan.

Dr Halimah berkata, ketika pihak televisyen terbabit menghubungi wakilnya Isnin lalu, terdahulu wakilnya dimaklumkan jemputan sudah dibuat kepada Halimey.

Katanya, pihaknya turut dimaklumkan berkenaan pengesahan kehadiran Halimey dalam program itu.

“Bagaimanapun, pada Selasa iaitu sehari sebelum program berlangsung, kami diberitahu mereka (PH) tidak jadi.

“Poster turut berubah daripada gambar dua calon kepada seorang sahaja,” katanya selepas Program Walkabout Pasar Malam TTDI Jaya, hari ini.

Dr Halimah berkata, beliau tidak tahu sebarang punca yang menyebabkan wakil PH tidak dapat hadir pada program itu.

“Saya dijemput bersama-sama (PH) untuk dialog soal jawab kerana kita mahu jadi wakil rakyat,” katanya.

Berdasarkan poster yang tular dalam media sosial sebelum ini, debat di antara Dr Halimah dengan Halimey dijadualkan berlangsung pada Rabu, 29 Ogos lalu pada 9.30 malam.

Bagaimanapun, hanya Dr Halimah yang hadir pada program terbabit sebagai tetamu.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir menerusi akaun Facebooknya mendakwa, debat terbabit terpaksa dibatalkan berikutan tindakan Halimey menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 9:02 PM
Poster asal disediakan penganjur (kiri) sebelum diubah kepada yang terkini (kanan) selepas Halimey dikatakan menarik diri.
Poster asal disediakan penganjur (kiri) sebelum diubah kepada yang terkini (kanan) selepas Halimey dikatakan menarik diri.